SUKANKINI

Tugas berat Harimau Malaya, namun optimis menang

HANOI, 14 DIS: Skuad Harimau Malaya perlu mencatat kemenangan ke atas Vietnam pada aksi final kedua seandainya mahu menjulang Piala AFF Suzuki 2018, yang berlangsung esok di Stadium My Dinh, di sini.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe berkata, setidaknya pasukan kebangsaan perlu mengikat pasukan Naga Emas itu 2-2 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

“Saya yakin dengan semua pemain, mereka sangat bermotivasi menghadapi perlawanan malam esok.

“Bermain di hadapan penyokong lawan adalah perkara yang sangat berbeza.

“Namun, kami mempunyai pengalaman bermain di luar negara serta mempunyai keputusan yang baik,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di sini, hari ini.

Pada 11 Disember lalu, dalam aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Vietnam berjaya mendapatkan dua gol di tempat lawan dengan perlawanan berkenaan berakhir dengan keputusan 2-2.

Keputusan itu sekali gus menuntut tugas berat anak buah Cheng Hoe yang perlu mencari sekurang-kurangnya dua jaringan di Hanoi serta bolos tidak melebihi dua jaringan sekiranya gagal mencapai kemenangan dalam 90 minit masa permainan pada perlawanan malam esok.

Cheng Hoe turut menggesa barisan pemainnya tidak mengulangi kesilapan melepaskan gol awal kepada pasukan Vietnam seperti dalam dua perlawanan sebelum ini di peringkat kumpulan dan dalam aksi final pertama.

“Kami perlu lebih berhati-hati dengan setiap gerakan serangan yang dimulakan oleh Vietnam.

“Apa yang penting, semua pemain harus ‘enjoy’ dan menikmati suasana perlawanan akhir itu dan bermain dengan tanpa tekanan,” katanya.

Malaysia berpeluang merangkul kejuaraan kali kedua Piala AFF Suzuki sekiranya berjaya menundukkan Vietnam, malam esok.

Datuk K. Rajagobal menjadi jurulatih tunggal negara yang berjaya menjulang piala berkenaan pada 2010 selepas menewaskan Indonesia dalam aksi final.

– BERNAMA


Pengarang :