GLOBAL

Ukraine tingkat tahap keselamatan hadapi ancaman Russia

KIEV 2 DIS: Presiden Ukraine Petro Poroshenko berkata kerajaannya sudah meningkatkan tahap keselamatan di infrastruktur utama negara khususnya loji kuasa nuklear dan pelaburan Laut Hitam bagi menghadapi ancaman Russia.

Russia melepaskan tembakan dan merampas tiga kapal tentera laut Ukraine serta kru pada 25 November lalu dalam insiden yang membabitkan adegan saling salah menyalah antara kedua negara.

Poroshenko semalam mengulangi dakwaan bahawa Russia menghantar pasukan tentera dalam jumlah besar di timur Ukraine yang dikawal pasukan pemisah pro Russia dan di Crimea, kawasan jajahan Russia sejak tahun 2014.

 

“Russia menggerakkan pasukan darat dengan kekuatan kira-kira 80,000 anggota, hampir 1,400 meriam dan sistem peluru berpandu, 900 kereta kebal, 2,300 kenderaan perisai, hampir 500 pesawat dan 300 helikopter,” kata Poroshenko di Twitter.

Moscow turut menggerakkan pasukan tentera laut dalam kekuatan besar di Laut Hitam dan Laut Azov yang dikongsi kedua negara, katanya.

Siaran televisyen Ukraine ‘112 Ukraine’ semalam memaparkan Poroshenko menyerahkan pesawat baharu, helikopter dan dron kepada tentera Ukraine.

Ukraine sudah meningkatkan tahap keselamatan di infrastruktur utama negara berkenaan termasuk loji hidro dan nuklear, kilang kimia dan pelabuhan di Laut Hitam serta Laut Azov. kata Poroshenko.

Ukraine memperkenalkan undang-undang tentera di beberapa bahagian negara terbabit bagi tempoh 30 hari dan semalam Poroshenko berkata, ia turut membabitkan perubahan terhadap operasi tentera.

Presiden Russia Vladimir Putin berkata, pertempuran di Laut Hitam minggu lalu hanya satu insiden kecil di kawasan sempadan dan mendakwa, Poroshenko mencipta provokasi untuk meningkatkan populariti beliau sebelum pilihan raya tahun depan.

Barisan ahli politik Russia berkata, mereka percaya fasa konfrontasi tentera sudah berakhir.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :