EKONOMISELANGOR

UMW akan jual tanah di Shah Alam pada RM287.7 juta

KUALA LUMPUR, 3 DIS: UMW akan menjual satu plot tanah perindustrian pegangan pajakan seluas 15.70 hektar di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor kepada Strategic Sonata Bhd pada RM287.7 juta.

Menurut UMW, pihaknya telah memeterai enam perjanjian jual dan beli dengan Strategic Sonata, anak syarikat milik penuh Mapletree Dextra Pte Ltd, Singapura dan penjualan itu dijangka diselesaikan pada suku kedua 2019.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW, Badrul Feisal Abdul Rahim berkata langkah tersebut akan membolehkan syarikat memanfaatkan sepenuhnya dan merealisasikan nilai aset yang lama dipegang di Shah Alam itu.

“Ia juga turut memudahkan perancangan untuk menempatkan semula operasi perniagaan di Shah Alam kepada Taman Pembuatan Bernilai Tinggi UMW yang dirancang di Serendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badrul Feisal berkata pemindahan ke Serendah akan menyediakan asas kukuh bagi fasa pertumbuhan syarikat seterusnya di samping mengukuhkan dan memperluas ekosistem itu bagi pembuatan bernilai tinggi dan inovatif di Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW.

“Selain itu, cadangan pemindahan operasi syarikat dari Shah Alam ke Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW akan membantu melonjakkan dan menyokong pelaburan pembuatan baharu dan lama oleh pelabur peringkat tertinggi, yang akan meningkatkan nilai tanah syarikat di Serendah secara ketara,” katanya.

Menurut UMW, Strategik Sonata akan memajakkan sebahagian tanah itu kepada anak syarikat UMW memandangkan penyewaan berkenaan akan memastikan operasi perniagaan syarikat di Shah Alam dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan sebelum berpindah ke Serendah.

“Tempoh penyewaan selama sekurang-kurangnya tiga tahun berkenaan akan memberi masa yang cukup bagi pembinaan dan penyiapan kemudahan di Serendah sebelum pemindahan dilaksanakan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :