SELANGOR

Usaha bina BCC wajar dicontohi syarikat swasta lain

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 26 DIS: Kejayaan Pengerusi Pusat Konvensyen Bangi (BCC), Mohamad Sahar Mat Din mengusahakan pusat terbabit wajar dicontohi syarikat swasta atau ahli perniagaan, di Bangi.

Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, hal itu ekoran masyarakat di Bangi memerlukan infrastruktur seumpamanya bagi membolehkan mereka menganjur majlis seperti perkahwinan dan program syarikat.

“Inisiatif itu tepat pada masanya kerana kita kekurangan dewan dan saya menyambut baik hasrat beliau membina beberapa lagi infrastruktur seperti ini.

“Berdasarkan perkembangan ekonomi hari ini dengan kerajaan mengamalkan dasar fisikal ketat, kita tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk membina infrastruktur seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah dan Penghargaan BCC, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mazwan turut menyampaikan anugerah kepada pelanggan BCC antaranya Anugerah Perkahwinan Terbaik 2018 dan Busana Terbaik 2018.

Selain itu, BCC turut menyampaikan penghargaan kepada kakitangannya yang berusaha gigih menaikkan nama pusat konvensyen terbabit.


Pengarang :