SELANGOR

Worldwide Holdings bakal terajui ‘Waste-To-Energy’ terbesar di Malaysia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Worldwide Holdings Berhad menerajui projek ‘Waste-To Energy’ (WTE) yang moden dan terbesar di Malaysia apabila loji bernilai RM500 juta itu bakal dibangunkan di pusat pelupusan sampah sedia ada, di Jeram.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, WTE akan menjadi sebahagian daripada Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu atau ‘Integrated Solid Waste Management Center (ISWMC)’ sebagai satu kaedah pengurusan sisa yang holistik untuk rawatan sisa pepejal.

Katanya, ia adalah teknologi pengurusan sisa yang boleh mengubah sisa menjadi tenaga dalam bentuk kuasa elektrik, selain terbukti menggantikan kaedah pelupusan sampah konvensional menggunakan tanah yang luas.

“Janakuasa WTE yang sedang dibangunkan oleh kami boleh menangani semua aspek isu alam sekitar melalui teknik rawatan moden dan berteknologi tinggi dalam mematuhi piawaian Kesatuan Eropah (EU), malahan teknologi diguna pakai mempunyai rekod prestasi cemerlang menggunakan ciri sisa pepejal yang sama, di Malaysia.

“Sisa pepejal digunakan sebagai bahan bakar untuk memanaskan relau bagi menjana stim yang membolehkan turbin menghasilkan tenaga elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement) antara Worldwide Holdings Berhad dan Western Power Clean Energy Sdn Bhd serta Pelancaran Sistem Aplikasi E-World, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Worldwide Holdings Berhad merangkap Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron; Pengarah Urusan dan Naib Presiden China Western Power Engineering and Construction Co Ltd, Wu Bin; Pengarah Eksekutif China Western Power International Pte Ltd, Jiang Shuhong sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Ahli Lembaga Pengarah Worldwide Holdings termasuk beberapa pimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Norazlina berkata, fasa pertama loji WTE itu dijangka siap bagi operasi komersial menjelang 2022, manakala fasa kedua disasarkan siap menjelang 2024.

Katanya, dengan kapasiti sampah 1,000 tan metrik sehari, fasa pertama kemudahan itu berupaya menghasilkan antara 20-25 MW tenaga hijau, sekali gus cukup menguasai 25,000 isi rumah di sekitar kawasan berkenaan.

“Ia dijangka mengurangkan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan, di samping menyokong aspirasi kerajaan bagi meningkatkan penjanaan ‘renewable energy’ hingga 20 peratus menjelang 2025.

“Kami juga mempunyai rancangan membuka kemudahan serupa di beberapa kawasan lain, di Selangor,” katanya.


Pengarang :