GLOBAL

2 maut dalam serangan masjid di Selatan Filipina

MANILA, 30 JAN: Sekurang-kurangnya dua maut manakala empat lagi cedera selepas sebutir bom tangan meletup dalam sebuah masjid di bandar Zamboanga, di selatan Filipina, awal pagi ini.

Agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan polis memaklumkan, dua individu tidak dikenali melemparkan bom tangan itu ke arah masjid, menyebabkan dua lelaki berusia 46 dan 47 tahun terbunuh.

Polis berkata, mangsa yang kebanyakannya pendakwah Islam dari Pulau Basilan dan wilayah berhampiran, sedang tidur ketika serangan.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Serangan ke atas masjid itu berlaku susulan insiden letupan berkembar, pada Ahad di sebuah gereja di Pulau Jolo dalam wilayah Sulu, di selatan Filipina yang meragut lebih 20 nyawa.

Filipina mengambil langkah berjaga-jaga, manakala pihak berkuasa sedang menyiasat insiden serangan di Pulau Jolo.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :