SELANGOR

23 kucing angkat terima pemilik baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JAN: Sebanyak 23 kucing menerima pemilik baharu pada Program ‘Kucing Angkat’ sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2019, Ahad lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepada komuniti setempat supaya bersikap lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi untuk persekitaran yang bersih dan selamat.

Katanya, ia juga merupakan landasan untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.

“Sebanyak 23 ekor kucing diadopsi dalam masa satu jam semasa program ini diadakan. Kucing-kucing yang diadopsi ini ditangkap MBSA di kawasan-kawasan seperti pasar dan gerai.

“Sebelum diadopsi, kucing-kucing ini divaksin dan dibuat pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, setiap kucing yang diadopsi MBSA dikenakan bayaran RM20 dan maksimum pengambilan kucing adalah sebanyak dua ekor bagi seorang pemilik.

Dalam program itu, MBSA juga turut bekerjasama bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Selangor serta pihak World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia untuk menjayakan program ‘Kucing Angkat’ itu.

Antara pengisian aktviti semasa program ini adalah seminar, pameran statik, serta ‘booth’ jualan.

Program itu juga menerima tajaan dari beberapa syarikat pengeluaran makanan haiwan serta klinik rawatan haiwan yang menyokong program sebegini dilaksanakan.


Pengarang :