EKONOMINASIONALRinggit

Ringgit tinggi berbanding dolar AS dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat dalam dagangan awal hari ini, berikutan harga minyak global lebih tinggi meningkatkan sentimen pasaran terhadap unit tempatan.

Pada jam 9.20 pagi, ringgit berada pada 4.1100/1150 berbanding dolar AS daripada 4.1120/1160, semalam.

Peniaga berkata, harga minyak global meningkat ekoran langkah mengurangkan bekalan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum membantu mengawal pasaran.

“Harga minyak yang lebih tinggi dilihat sebagai positif kepada pendapatan minyak dan gas Malaysia,” katanya.

Niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent meningkat 44 cents kepada US$57.77 setong manakala niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) naik 33 cents kepada US$48.85 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain kecuali yen, yang mana ia meningkat kepada 3.7849/7905 daripada 3.8004/8044 semasa ditutup semalam.

Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0296/0335 daripada 3.0284/0334, turun berbanding pound kepada 5.2518/2602 daripada 5.2424/2491 dan susut berbanding euro kepada 4.7113/7187 daripada 4.7037/7099.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :