SELANGOR

3 PBT berstatus bandar raya rancakkan pembangunan Petaling

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 12 JAN: Pembangunan infrastruktur di daerah Petaling dijangka bertambah rancak selepas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dinaik taraf kepada majlis bandaraya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada masa ini terdapat dua Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf bandar raya, di daerah terbabit.

Katanya, Petaling memiliki potensi besar kerana ia adalah kawasan pembangunan berdaya tinggi dan mempunyai dua majlis bandaraya, iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya.

“Jika ikut rancangan, kita ada permohonan menjadikan MPSJ sebagai bandar raya, pada 2019, sekali gus meningkatkan status daerah Petaling jauh lebih baik daripada sekarang.

“Ini kerana kemudahan bandar raya akan diikuti dengan peningkatan infrastruktur dan tidak ketinggalan perkhidmatan perbandaran di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor, pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Institusi Agama Sempena Program Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat, di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, program jelajah di daerah Petaling membolehkan beliau melihat sendiri persediaan kawasan terbabit sebelum diiktiraf sebagai majlis bandaraya.

Katanya, Kerajaan Negeri turut mengkaji keseimbangan daerah Petaling sebagai pemegang status bandar raya, berbanding sebagai daerah penting untuk kemajuan daerah dan negeri.


Pengarang :