Selangorkini
NASIONAL

421 dokumen 1MDB diserah kepada pembelaan

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Sebanyak 421 dokumen mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, diserahkan kepada pihak pembelaan untuk perbicaraan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika pengurusan kes berkenaan, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan beberapa dokumen perbankan membabitkan 21 kes pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB yang dihadapi Najib.

“Kami memerlukan masa dan akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan kesemua dokumen perbankan berkenaan yang masih belum diperoleh daripada pihak bank,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Februari ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang turut hadir dalam prosiding kes itu berkata, pihak pendakwaan sebelum ini menyerahkan 367 dokumen berkaitan kes rasuah dan 23 dokumen membabitkan kes pengubahan wang haram kepada pihak pembelaan.

“Hari ini, pihak kami menyerahkan 54 dokumen lagi membabitkan kes itu (rasuah) dan dokumen yang diserahkan itu sebahagian besar membabitkan minit mesyuarat jemaah menteri,” katanya.

Sementara itu, Hakim Collin menetapkan 15 Februari ini untuk mendengar permohonan Najib bagi menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes berkenaan.

Hakim itu juga menetapkan 13 Februari ini untuk pihak terbabit memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Najib, 66, yang hadir dalam prosiding itu diwakili peguam Harvinderjit Singh.

Najib menghadapi empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Anggota Parlimen Pekan, Pahang itu didakwa melakukan kesemua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

Perbicaraan kes ditetapkan sebelum ini pada 15 April hingga 3 Mei 2019.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :