KUALA LUMPUR, 26 Jan — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mendengar penerangan daripada pekerja Alam Flora Bahagian Kitar Semula, Azrul Mohamad pada Pelancaran ‘3R On Wheels’ & Kad Mesra di Stesen Minyak Petronas Jalan Kolam Ayer hari ini. Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (empat, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Datuk Mohd Zain Hassan (kiri) dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (dua, kanan). – -fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

60% rakyat Malaysia masih gagal urus sampah

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Kira-kira 60 peratus daripada 32 juta populasi rakyat Malaysia masih gagal membuang sampah ke dalam tong sampah, walaupun kemudahan itu disediakan secukupnya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pengurusan sampah dilihat masih belum menjadi tabiat masyarakat negara ini dan sikap itu perlu dikikis dalam usaha menjadikan Malaysia bersih.

“Saya ingat tabiat (membuang sampah ke dalam tong sampah) belum jadi darah daging mereka (rakyat) lagi, mereka tidak tahu mengurus sampah termasuk sampah peribadi di rumah.

“Di negara maju, mereka simpan sampah dalam beg tangan atau poket dulu sebelum buang dalam tong sampah. Sekarang kita nak budaya orang cari tong sampah, bukan tong sampah cari orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 3R On Wheels dan Kad Mesra, di Stesen Petronas Jalan Ayer Ampang, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan.

Katanya, publisiti dan kempen kesedaran secara lebih meluas akan dilaksanakan semua Pihak Berkuasa Tempatan dan persatuan penduduk supaya pengurusan sampah secara betul dapat dibudayakan.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, program 3R on Wheels dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad itu dilaksanakan melalui kutipan mata ganjaran pemegang Kad Mesra Petronas dengan hasil jualan barang kitar semula di lori 3R On Wheels.

Katanya jadual kutipan bagi lori bergerak 3R On Wheels akan dihebahkan melalui media sosial Alam Flora termasuk di Facebook, Twitter dan Instagram bagi membolehkan mereka merancang menghantar barangan kitar semula mengikut jadual.

Sejak program lori bergerak 3R On Wheels dilaksanakan awal Disember tahun lalu, Alam Flora berjaya mengutip 21.2 tan barang kitar semula di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Cyberjaya.

 


Pengarang :