PENDIDIKANSELANGOR

ADIO18 medan tonjol hasil karya seni

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 JAN: Pameran Art, Design, Innovation and Opus (ADIO18) anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, menjadi medium tepat kepada mahasiswa untuk mengekpresi dan menonjolkan hasil karya masing-masing.

Berlangsung di Hab Media Kreatif dan Teknologi, di sini, ADIO18 turut menampilkan ilham daripada 37 penuntut tahun akhir dalam empat bidang pengkhususan iaitu Sejarah Seni & Pengurusan Budaya (AD701), Teknologi Seni Halus (AD702), Komunikasi Visual & Media Baharu (AD703) serta Rekaan Teknologi (AD704).

Timbalan Dekan FSSR, Dr Rusmadiah Anwar berkata, pameran bertemakan ‘Interactivity Design Humanity IR4.0’ itu dilihat penting dalam melahirkan mahasiswa yang berteraskan kehendak dan memenuhi keperluan industri kreatif, pada masa kini.

“Dengan adanya pameran ini, ia akan membolehkan orang ramai menghayati hasil karya seni generasi muda, sekali gus memberi banyak manfaat kepada pelajar, di fakulti ini.

“Ia juga sebagai persediaan menempuh era revolusi industri 4.0 yang semakin meluas dan mencabar yang memerlukan mahasiswa berkreativiti tinggi, dalam bidang ini,” katanya ketika berucap merasmikan ADIO18, hari ini.

Terdahulu, forum berkenaan turut menampilkan barisan panelis terkenal dan berpengalaman iaitu Pensyarah Rekaan dan Inovasi Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Khairul Aidil Azlin Abdul Rahman; Pop Artis Malaysia, Haron Mokhtar serta Pengarah VFX, Art Tech.

Hadir sama, Ketua Program Siswazah UiTM, Dr Mumtaz Mokhtar; Koordinator Kerja Kursus, Dr Mohamed Razeef Abdul Razak termasuk beberapa pensyarah.

Sementara itu, Presiden ADIO18, Syafidatul Najihah Suhaimi berkata, program itu diharapkan dapat mempromosikan secara lebih meluas peranan seni reka selari dengan fungsi teknologi yang ada.

“Ini juga permulaan bagi kami untuk terus maju ke hadapan dalam meneroka bidang kreatif dengan menampilkan hasil karya berkualiti,” katanya.


Pengarang :