SELANGOR

ADN galak masyarakat kitar semula pek minuman

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 JAN: Masyarakat digalakkan untuk mengamalkan kitar semula pek minuman terpakai bagi menyelamatkan alam sekitar dan mengurangkan kesan karbon.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, beliau memuji inisiatif Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad dalam melaksanakan kempen Projek CAREton 2019 iaitu projek kitar semula pek minuman terpakai.

“Banyak manfaat akan kita peroleh apabila melaksanakan kitar semula pek minuman terpakai, selain menyelamatkan bumi ia juga dapat memberi impak positif kepada generasi akan datang.

“Saya memuji inisiatif ini malah optimis lebih banyak syarikat korporat mewujudkan program tanggungjawab sosial korporat sebegini pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, walau Kerajaan Negeri sering ke hadapan dalam melaksanakan program pembangunan alam sekitar, usaha tambahan dari syarikat korporat disambut baik bagi mencapai matlamat menjadikan Selangor sebagai negeri contoh menerajui budaya hijau.

“Saya optimis mulai sekarang setiap masyarakat dapat mendidik diri sekali gus membudayakan amalan kempen kitar semula pek minuman terpakai ini,” katanya.

Baru-baru ini, Jamaliah menghadiri Majlis Pelancaran Projek CAREton 2019 anjuran Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad di One Utama.

Difahamkan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) antara pihak berkuasa tempatan yang dipilih projek CAREton 2019 sebagai benefisiari baru.

Projek CAREton 2019 menyasarkan 35 juta pek minuman dikitar semula pada tahun ini.

Pengguna boleh merujuk http://recycle-easy.com.my untuk meletakkan pek minuman mereka yang digunakan di 500 pusat koleksi CAREton di seluruh Malaysia.

 


Pengarang :