SELANGOR

ADN rai masyarakat Pulau Ketam sempena Tahun Baharu Cina

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 JAN: Program sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Pulau Ketam berlangsung meriah dengan kehadiran Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Program yang turut dihadiri pemimpin dan masyarakat tempatan itu diisi dengan pelbagai acara seperti persembahan Gendang Cina, Tarian Naga dan nyanyian pelajar sekolah.

Katanya, selain meraikan masyarakat Cina yang akan menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, program itu juga bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

“Di negara ini kita tidak perlu takut keluar makan malam di mana-mana kerana kita bernasib baik hidup sebagai rakyat di sebuah negara yang harmoni, bertolenrasi antara satu sama lain tanpa mengira agama mahupun bangsa.

“Maka, memang tidak menghairankan apabila perayaan Tahun Baharu Cina turut diraikan kaum lain,” katanya di hadapan kira-kira 300 masyarakat Pulau Ketam yang menghadiri program di Dewan Orang Ramai Pulau Ketam di sini, hari ini.

Pada program itu, Abdul Rashid turut mengajak masyarakat di kawasan berkenaan untuk menyertai program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Katanya, hal itu ekoran masih terdapat ramai masyarakat di Pulau Ketam yang tidak mendapat maklumat berhubung IPR.

“Ramai penduduk di sini yang masih kurang faham adanya bantuan di bawah IPR tetapi selepas diterangkan tadi, nampaknya semakin ramai yang faham.

“Saya berharap penduduk di sini sama-sama memohon bantuan yang diperlukan antaranya untuk warga emas dan pendidikan,” katanya.


Pengarang :