SELANGOR

ADN Semenyih meninggal dunia akibat serangan jantung

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Mohd Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada jam 4.45 pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah berkata, Allahyarham yang berusia 57 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kajang.

“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Jalan Sungai Lalang, Tekala dan akan disembahyangkan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

“Untuk makluman, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan golongan yang soleh,” katanya dalam kenyataan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohd Bakhtiar menang kerusi DUN Semenyih dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM).

 


Pengarang :