SELANGOR

ADN sokong larangan merokok di premis makanan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Larangan merokok di semua premis makanan yang berkuat kuasa semalam mendapat sokongan orang ramai termasuk Halimey Abu Bakar.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu berkata, larangan itu diperlukan kerana merokok bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, namun turut memberi kesan kepada orang sekeliling.

“Saya bukan seorang perokok, namun keputusan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menguat kuasakan arahan itu amat dipersetujui dan disokong.

“Cadangan untuk memperluaskan kawasan larangan merokok yang diuar-uarkan seperti di dobi dan hotel satu tindakan yang bagus,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat DUN Seri Setia, di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, di sini, semalam.

Justeru, beliau menasihati perokok supaya mengikuti undang-undang yang sudah ditetapkan kerajaan.

Terdahulu, KKM mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan terbabit.

Malah, tindakan akan diambil terhadap perokok dan pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

 

 


Pengarang :