NASIONAL

Agro Malaysia mahu tembusi pasaran halal Jepun

KUALA LUMPUR, 27 JANUARI: Olimpik 2020 di Tokyo akan dijadikan landasan bagi 300,000 ahli Agro Malaysia membuat perancangan dari sekarang untuk menembusi pasaran halal, di Jepun yang diyakini terus meningkat selepas temasya sukan itu.

Presiden Agro Malaysia, Datuk seri G Gnanaraja berkata, permintaan terhadap makanan halal pastinya tinggi semasa dan selepas Sukan Olimpik ekoran kemasukan pelancong beragama Islam.

Katanya, Expo Makanan Halal Malaysia (MHE 2019) yang berakhir semalam memberi peluang kepada ahli Agro Malaysia menambah maklumat dan menimba pengetahuan dari usahawa lain untuk menemusi pasaran halal Jepun.

“Saya akan memastikan usahawan Agro Malaysia tidak terlepas peluang keemasan menembusi pasaran halal di sana dan ekspo ini akan menjadi permulaan penerokaan pasaran halal yang lebih luas ke Jepun selepas ini.

“Ia dapat mengembangkan rangkaian usahawan kami terutama ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada BERNAMA, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Ekspo bertemakan “Malaysia to Japan for 2020 Olympics” yang berakhir semalam dijadikan Agro Malaysia untuk memulakan usaha dengan lebih hebat supaya semua usahawannya tidak terlepas peluang keemasan berniaga di negara matahari terbit itu.

Sukan Olimpik 2020 di Jepun menyasarkan kemasukan 40 juta pelancong, dengan sebahagian daripadanya pelancong beragama Islam.

Katanya, MHE 2019 adalah hasil kesinambungan memorandum kerjasama berkaitan halal Malaysia-Jepun yang dimerterai, pada 26 November lalu.

Gnanaraja berkata, produk makanan halal di Jepun kini sinonim dengan kebersihan dan gaya hidup sihat serta bukan semata-mata disebabkan faktor keagamaan.

“Agro Malaysia turut merebut peluang ini dari awal, bukan sahaja membantu meningkat ekonomi negara, tetapi paling penting memperkasa usahawan bumiputera Islam Malaysia untuk membawa agenda ini ke peringkat dunia.

“Jepun antara negara yang sentiasa mementingkan kebersihan dan gaya hidup sihat, persahabatan Malaysia-Jepun sangat erat, ini adalah sangat signifikan untuk usahawan dan tentunya memudahkan kita menembusi pasaran halal negara itu,” katanya.

Mengikut statistik, Malaysia mengeksport makanan siap proses bernilai USD1.03 bilion (RM4 bilion) ke negara Asia Timur, pada 2017.

Jepun adalah destinasi eksport produk makanan siap proses yang kedua terbesar Malaysia bernilai USD249 juta (RM972 juta) selepas China bernilai USD391.6 juta (RM1.56 bilion), diikuti Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.


Pengarang :