SELANGOR

Air Selangor operator tunggal bekalan air di Lembah Klang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 4 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bakal beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 1 April ini.

Ia susulan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air melalui perjanjian tambahan ketiga kepada perjanjian utama penstrukturan semula industri berkenaan yang ditandatangani di Grand Ballroom, Hotel Marriott di sini, hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, melalui perjanjian itu, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bersetuju menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1.9 bilion bagi membantu Air Selangor mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

“Pembiayaan PAAB dengan kadar faedah kompetitif dan jangka bayar balik yang panjang mampu mengurangkan tekanan ke atas tarif air ke atas pengguna.

“Air Selangor juga berjaya melaksanakan obligasinya di bawah Perjanjian Utama ditandatangani pada 2014 untuk mengambil alih keempat-empat syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan SPLASH.

“Pengambilalihan PNSB, ABASS dan SYABAS juga sudah selesai dilaksanakan sebelum ini dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM1.68 bilion,” katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Raja Puji; Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Dato’ Dr Tan Yew Chong dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad, Dato’ Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Dr Xavier berkata, kejayaan pengambilalihan itu membolehkan Air Selangor beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, ia dikawal selia melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).

“Melalui sistem ini, prestasi syarikat dalam melaksanakan perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan bekalan air akan dikawal selia melalui petunjuk prestasi utama serta syarat perlesenan lain ditetapkan SPAN.

“Oleh yang demikian, kepentingan semua pihak berkepentingan khususnya pengguna akan sentiasa terjaga serta terjamin dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :