Selangorkini
EKONOMI NASIONAL

AirAsia dan AirAsia X catat pertumbuhan penumpang

KUALA LUMPUR, 28 JAN: AirAsia Group Bhd mencatatkan peningkatan sebanyak 14 peratus kepada 74.8 juta dalam trafik penumpang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu, membabitkan semua enam pesawat dengan Sijil Pengendali Udara (AOC).

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga telah mengembangkan kapasitinya pada sepanjang tahun terbabit, dengan tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK) meningkat 15 peratus dan berjaya mencapai sasaran beban keseluruhan tahunan kumpulan sebanyak 85 peratus melalui saiz armada berjumlah 224 pesawat.
Kesepaduan AOC yang merangkumi Malaysia, Indonesia dan Filipina terus menyampaikan pertumbuhan pada suku keempat berakhir 31 Disember tahun lalu, dengan angka penumpang yang dibawa menokok 16 peratus kepada 12.1 juta orang pada musim suku yang kukuh.

Faktor beban pada suku keempat direkodkan sebanyak 84 peratus, turun empat mata peratusan dari tahun ke tahun disebabkan oleh peningkatan ketara dalam kapasiti, manakala, ASK naik sebanyak 14 peratus.

“Ini adalah selaras dengan strategi kami yang mahu meningkatkan penguasaan pasaran,” kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia mencatatkan kenaikan sebanyak sembilan peratus dalam ASK, dan memperkenalkan gabungan laluan domestik dan antarabangsa pada suku keempat dengan jumlah penumpang yang dibawa tumbuh sebanyak sembilan peratus untuk mencecah lebih daripada 8.5 juta penumpang.

Faktor beban menyusut lima mata peratusan kepada 84 peratus, disebabkan pertambahan kapasiti sebanyak 16 peratus dari tahun ke tahun.

Sementara itu, AirAsia X Bhd dalam satu kenyataan berasingan, berkata ia mencatatkan jumlah tertinggi dalam bilangan penumpang yang diterbangkan iaitu sebanyak 6.17 juta pada tahun lalu, lonjakan enam peratus dari tahun ke tahun, selaras dengan pertumbuhan kapasiti tujuh peratus pada setiap tahun.

Pertumbuhan itu, sebahagian besarnya telah didorong oleh pengenalan empat laluan baharu dan usaha berterusan bagi membina penguasaan di pasaran utama dan pada masa yang sama, beralih dari negara bukan teras seperti Iran, Nepal dan Maldives.

“Jumlah penumpang yang direkodkan pada suku keempat tahun berkenaan menyusut sebanyak tiga peratus dari tahun ke tahun pada 1.498 juta penumpang,” kata AirAsia X.

Ia menambah bahawa faktor muatan penumpang berada lebih rendah sebanyak 78 peratus, terutamanya disebabkan oleh tambahan kapasiti yang diperkenalkan untuk pasaran utama bagi musim perjalanan pada akhir tahun.

Di samping itu, terdapat impak pada beberapa laluan seperti kawasan Jepun dan Indonesia yang telah dilanda bencana alam.

Faktor beban untuk laluan Kathmandu juga telah menerima kesan ketara berikutan penamatan laluan yang dibuat secara berperingkat pada suku keempat tahun lalu, termasuk larangan kerajaan Nepal untuk rakyatnya bekerja di Malaysia.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :