NASIONAL

Anggota polis maut dipercayai langgar lari

SITIAWAN, 7 JAN: Seorang anggota polis maut manakala seorang orang awam cedera parah selepas motosikal yang ditunggang masing-masing dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan, dalam kejadian di Km3 Jalan Sitiawan-Ayer Tawar berhampiran Taman Nesa, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman berkata, dalam kejadian jam 9.05 malam itu, Kpl G. Kumaran, 34, yang bertugas di Balai Polis Seri Manjung, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang lelaki berusia 41 tahun patah bahu kiri serta beberapa kecederaan lain.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, kedua-dua motosikal itu tidak sempat mengelak lalu dilanggar kenderaan berkenaan yang kemudian dipercayai lari selepas kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, polis sedang mengenal pasti kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Siti Nur Athira Ramlan melalui talian 018-9702345 untuk membantu siasatan.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :