Angka korban banjir, tanah runtuh Indonesia cecah 68 orang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Angka korban banjir, tanah runtuh Indonesia cecah 68 orang

JAKARTA, 28 JAN: Angka korban akibat hujan lebat yang mencetuskan insiden tanah runtuh dan banjir di sebuah pulau di Indonesia telah meningkat kepada 68 orang, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan agensi pengurusan bencana negara itu, semalam.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, sekurang-kurangnya 47 orang cedera manakala tujuh lagi masih hilang di Pulau Sulawesi yang dilanda bencana.

Terdahulu, hujan lebat melanda 13 daerah di seluruh pulau itu termasuk Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan.


Nugroho berkata, lebih 6,700 mangsa dipindahkan ke kawasan selamat.

Sementara itu, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dalam satu kenyataan menyebut bahawa kerajaan akan membayar wang pampasan 15 juta rupiah (kira-kira AS$1,066) bagi setiap korban kepada keluarga mangsa.

Insiden banjir dan tanah runtuh telah memusnahkan kediaman, bangunan kerajaan, sekolah dan jambatan.

Tanah runtuh dan banjir sering berlaku di Indonesia, terutama semasa musim tengkujuh antara Oktober dan April, ketika hujan lebat melanda kepulauan tropika yang luas itu.

– BERNAMA

Foto Kredit – AFP

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next