GLOBAL

Angka korban di Kenya meningkat

NAIROBI, 17 JAN: Angka korban serangan pengganas ke atas sebuah hotel mewah dan kompleks perniagaan di Nairobi, meningkat kepada 21, apabila ​​​​​​​enam lagi mayat ditemui dan seorang polis meninggal dunia di hospital, semalam.

Menurut Xinhua yang memetik Ketua Polis Negara Joseph Boinnet, seorang ​​​​​​​anggota polis yang terbabit dalam operasi menyelamat, meninggal dunia di hospital ​​​​​​​akibat kecederaan dialami, manakala enam mayat ditemui di tempat kejadian ketika ​​​​​​​siasatan forensik dijalankan.

Beliau berkata, seramai 28 orang dimasukkan ke beberapa hospital di Nairobi dan enam penyerang disahkan berjaya dibunuh.

Pada sidang akhbar, Ketua Polis itu berkata, daripada 21 yang terbunuh, 16 warga Kenya ​​​​​​​maut, seorang rakyat Amerika dan seorang warga Britain sementara tiga lagi mayat ​​​​​​​dipercayai dari benua Afrika belum dikenal pasti.

Katanya, siasatan susulan oleh Direktorat Siasatan Jenayah, polis mengesan dua suspek ​​​​​​​utama dipercayai membantu serangan berkenaan dan kini ditahan bagi membantu ​​​​​​​siasatan.

“Kami mengulangi seruan kepada seluruh warga Kenya untuk terus bekerjasama dengan ​​​​​​​polis dan ejen keselamatan dalam usaha memerangi pengganas serta sebarang bentuk ​​​​​​​jenayah lain,” kata Boinnet.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta berucap ​​​​​​pada Rabu dengan menyatakan, 14 orang awalnya terbunuh dan ratusan lagi berjaya ​​​​​​​diselamatkan dalam serangan ke atas kompleks Hotel DusitD2, di Jalan Riverside 14, daerah Westland, Nairobi.

Palang Merah Kenya menerusi Twitter pada lewat Rabu menyatakan, 19 orang ​​​​​​​lagi masih hilang selepas serangan itu.

Pertubuhan itu menyatakan sebanyak 94 kes orang hilang dilaporkan tetapi 75 ditemui ​​​​​​​selepas jam 8.30 malam.

Puak al-Shabab Somalia mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu dengan ​​​​​​​menyatakan, mereka membunuh 47 orang di dalam Hotel DusitD2, rangkaian hotel ​​​​​​​antarabangsa Thailand yang kelihatan menjadi sasaran serangan itu.

Kumpulan bersenjata itu mengeluarkan kenyataan dalam talian pada petang Rabu dengan menyatakan serangan di Nairobi adalah tindak balas terhadap kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang “menakutkan” serta tindakannya mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel selain ‘pembunuhan sistematik penduduk Palestin’.

Kenya adalah sekutu kuat Amerika di benua Afrika.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :