Selangorkini
GLOBAL

ANGKASA nafi asteroid hentam bumi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JAN: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menegaskan berita berkaitan asteroid bakal menghentam bumi, pada 1 Februari adalah tidak benar.

ANGKASA dalam kenyataan berkata, asteroid yang dimaksudkan itu diberi gelaran ‘2002NT7’ dijumpai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA), pada 2002.

“NASA sudah membuat pengiraan berdasarkan teori astronomi bahawa asteroid terbabit akan menghentam bumi pada 1 Februari ini dengan kebarangkalian kurang daripada satu peratus (%).

“Bagaimanapun, dengan pemantauan dan pengiraan semula, kebarangkalian asteroid itu menghentam bumi adalah amat kecil dan hampir mustahil berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu gusar atau bimbang berkaitan perkara ini dan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan berita yang tular serta lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat.

Terdahulu, timbul pertanyaan dan reaksi orang ramai terhadap dakwaan NASA bahawa batuan angkasa itu dijangka menghentam bumi, pada 2019 dengan kelajuan 60,000 kilometer sejam.

Bagaimanapun, ramalan mengenai asteroid 2002 NT7 itu kemudian ditarik serta-merta oleh pihak NASA dan mereka akan membuat perkiraan semula serta mengesahkan bahawa ia bukan suatu ancaman kepada bumi.

NASA berkata, 2002 NT7 bakal melintasi bumi tanpa terjadi sebarang pelanggaran, iaitu dijangka pada 13 Januari ini.


Pengarang :