NASIONAL

APMM rampas syabu RM3.4 juta

PELABUHAN KLANG, 10 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 23 kilogram dianggarkan bernilai RM3.4 juta oleh dua nelayan tempatan, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, tangkapan hasil daripada maklumat risikan berkenaan dilakukan di perairan Tanjung Rhu, Sepang, dekat sini pada kira-kira jam 7.30 pagi.

“Dalam operasi semalam, APMM berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca tidak mempunyai nombor pendaftaran dinaiki dua suspek berkenaan, keluar dalam keadaan mencurigakan dari Jeti Sungai Belankan, Tanjung Rhu.

“Menyedari diekori penguat kuasa APMM, suspek memecut laju bot mereka namun berjaya ditahan pada kedudukan kira-kira 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan, pemeriksaan ke atas bot berkenaan membawa kepada penemuan 22 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu disorokkan di dalam sebuah tong ikan berwarna jingga,” katanya dalam sidang media di sini. hari ini.

Mohd Zubil berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 31 tahun itu turut bertindak agresif ketika cuba ditahan, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati dadah dirampas itu mahu diseludup keluar untuk dijual ke negara jiran dipercayai Indonesia yang mana harga pasarannya mampu mencecah hampir tiga kali ganda daripada harga di pasaran tempatan.

“Kami percaya dua suspek terbabit akan bawa dadah ini sehingga ke perairan antarabangsa dan kemudian mereka akan pindahkannya ke sebuah bot lain untuk dibawa ke lokasi ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zubil berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat rangkaian sindiket dadah berkenaan di sana.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan

“Tangkapan berkenaan adalah rampasan dadah terbesar APMM setakat ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :