GLOBAL

AS keluar amaran perjalanan tahap paling tinggi bagi Venezuela

WASHINGTON, 30 JAN: Amerika Syarikat (AS) meningkatkan amaran perjalanan bagi Venezuela ke peringkat paling tinggi, semalam dan menasihati pelancong supaya mengelak melakukan perjalanan ke negara itu.

Agensi berita Turki Anadolu yang memetik kenyataan Jabatan Negara AS berkata, amaran perjalanan yang dipertingkat ke Tahap 4 itu menggantikan nasihat perjalanan dikeluarkan minggu lalu.

Ia susulan Washington mengarahkan kakitangan kerajaan AS yang tidak penting dan anggota keluarga mereka supaya meninggalkan Venezuela.

“Jangan pergi ke Venezuela kerana terdapat jenayah, kekacauan awam dan infrastruktur kesihatan yang buruk selain penahanan serta penangkapan sewenang-wenangnya warganegara AS,” kata Jabatan Negara.

Jabatan itu berkata, kerajaan AS mempunyai keupayaan terhad untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada warganegara AS, di negara terbabit.

Katanya, jika pelancong masih berhasrat untuk ke Venezuela, mereka hendaklah mengelak demonstrasi atau melakukan perjalanan antara bandar, pada waktu malam.

Amaran itu dikeluarkan hampir seminggu selepas Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Juan Guaido mengisytiharkan kerajaan Presiden Nicolas Maduro sebagai tidak sah dan mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara.

Tahap 4 adalah amaran tertinggi yang dikeluarkan AS dan menyatakan “Jangan Lakukan Perjalanan”, manakala Tahap 3 menasihati supaya perjalanan itu dipertimbang semula.

Awal bulan ini, Jabatan Negara turut mengeluarkan amaran perjalanan Tahap 2 ke China, dengan alasan terdapat larangan keluar yang menyebabkan warganegara Amerika tidak jadi meninggalkan negara itu.

AS sudah mengeluarkan amaran perjalanan Tahap 4 bagi 12 negara, sejak Julai tahun lalu.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :