GLOBAL

AS tarik balik sekatan pada tiga syarikat Rusia

WASHINGTON, 28 JAN: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lalu, menarik balik sekatan dikenakan ke atas tiga syarikat Rusia yang berkaitan dengan hartawan negara itu, Oleg Deripaska.

Penarikan balik sekatan ke atas syarikat, EN+ Group, United Company RUSAL and JSC EuroSibEnergo diambil selepas syarikat terbabit didapati telah mengurangkan pegangan saham langsung dan tidak langsung yang dimiliki hartawan itu.

Bagaimanapun, sekatan terhadap Deripaska masih kekal, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan jabatan itu.

Deripaska dilaporkan mempunyai hubungan dengan Kremlin dan Paul Manafort yang pernah menjadi pengurus kempen Presiden Donald Trump.

Pentadbiran Trump pada Disember tahun lalu mengumumkan perancangan untuk melonggarkan sekatan ke atas tiga syarikat itu, namun dibantah anggota parlimen Demokrat.

Awal Januari ini, Senat yang dikawal Parti Republik menolak usaha Demokrat untuk mengekalkan sekatan terbabit.

AS telah mengenakan sekatan ke atas Rusia berdasarkan dakwaan campur tangan pada pilihan raya presiden 2016, yang Moscow berulang kali menafikannya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :