ATF taja Red Giants, bekal pita sukan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

ATF taja Red Giants, bekal pita sukan

SHAH ALAM, 4 JAN: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terus menerima suntikan positif untuk menghadapi Liga Malaysia 2019 dengan mengikat perjanjian bersama penaja terbaharu, ATF Sport Taping (ATF).

Dalam kenyataan, Setiausaha Agungnya , Dr Johan Kamal Hamidon berkata, FAS teruja dan menghargai kerjasama ATF yang membuktikan pihak korporat dan teknikal ingin bersama dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.

“Kita yakin ATF akan membekalkan produk berkualiti kepada pasukan dan peminat Red Giants.


“Peminat boleh mendapatkan pita sukan eksklusif Red Giants daripada ATF dalam masa terdekat,” katanya.

Melalui penajaan itu, ATF akan membekalkan pita sukan kepada pemain Selangor selain jenama itu akan diperlihatkan di platform komunikasi digital FAS, di dalam Stadium Shah Alam dan kawasan latihan pasukan.

Pengasas ATF, Azmir Zed berkata, pembabitan mereka dalam arena bola sepak bermula tahun lalu, hasil kerjasama dengan pasukan bola sepak lain.

“Dengan kerjasama termeterai dengan FAS, sudah pasti peminat bola sepak negara akan lebih mengenali ATF.

“Kita bersyukur atas kesudian FAS untuk bekerjasama dan berharap hubungan ini akan memanfaatkan semua pihak berkaitan,” katanya.

ATF adalah hasil titik peluh Azmir selaku pemain ragbi negara, untuk memberi akses kepada pita sukan berkualiti terbaik pada harga berpatutan.

Sebagai atlet antarabangsa, beliau sedar akan keperluan pita sukan jenama tempatan bagi memenuhi keperluan industri sukan di Malaysia.

Hasil penyelidikan teliti, beliau mengasaskan ATF pada 2016 di mana kini pita sukan ATF dijual dan diedar dalam jumlah besar di Malaysia dan luar negara.

ATF berharap untuk mengembangkan lagi perniagaan dan jenama mereka pada tahun ini serta yakin kerjasama dengan FAS mampu membantu bagi mencapai matlamat berkenaan.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next