SELANGOR

Azmin nafi ada pakatan, hanya terserempak

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 6 JAN: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada perbincangan sulit
bersama mantan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, ketika bercuti bersama keluarganya di Maghribi baru-baru ini, beliau hanya terserempak dengan Hishammuddin.

“Saya tidak bercuti dengan beliau, saya hanya terserempak sahaja. Saya jumpa ramai rakyat Malaysia di Maghribi, tidak jadi masalah atau isu pun.

“Saya jumpa pelajar Malaysia di sana, janganlah buat spekulasi.

“Kita kena bertamadun, jangan ingat kita mesti ada perbincangan politik, tidak ada. Untuk kebaikan negara kita kena baik dengan semua orang,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Simfoni Rumah SelangorKu di Eco Majestic di sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, hubungannya dengan Hishammuddin sudah terjalin sejak puluhan tahun dahulu dan melangkaui batas politik.

“Hubungan saya dengan Hishammuddin bermula puluhan tahun dulu. Kalau saudara ingat masa saya dalam pembangkang, pada majlis perkahwinan anaknya, hanya saya seorang dari pembangkang menghadiri majlis di Shangri-la Hotel,” katanya.

Terdahulu, gambar percutian bersama itu tersebar di laman Twitter anak sulungnya, Ameer Azmin di sebuah resort di Marrakesh, Maghribi.

Ameer memuat naik gambar terbabit dengan kapsyen ‘keluarga kami bersatu semula’.


Pengarang :