SELANGOR

Azmizam bantu keluarga Rohingya daif

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 12 JAN: Susulan dua beradik berpakaian sekolah menyelongkar tempat pembuangan sampah tular di laman sosial, Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menjejaki keluarga kanak-kanak itu.

Beliau bersama sukarelawan Team Muafakat Klang mengambil inisiatif mencari keluarga adik-beradik itu, seawal jam 4.30 pagi semalam bagi menghulurkan bantuan.

“Akhirnya, kami menemui keluarga ini hasil maklumat pengunjung dan pekerja, di pasar Pelabuhan Klang.

“Ibu bapa kanak-kanak terbabit adalah pelarian Rohingya dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, ibu bapa kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Nur Islam Abdul Husson, 43, dan isterinya, Nujumah Khatu Sultan Islam, 43, tinggal di negara ini sejak 20 tahun lalu.

Beliau berkata, pasangan itu mempunyai enam anak berumur satu hingga 14 tahun dan menyewa di sebuah rumah kedai, berhampiran pasar berkenaan.

“Ayahnya bekerja sebagai pembantu di kedai menjual sayur-sayuran di pasar berkenaan dengan upah RM50 sehari, manakala isterinya tidak bekerja.

“Oleh kerana gajinya tidak mencukupi, mereka juga mencari barang lusuh untuk dijual bagi menampung kehidupan seharian,” katanya.

Justeru, Azmizam berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk membantu keluarga terbabit bagi meringankan kos perbelanjaan mereka.

“Walaupun mereka ini warga asing tetapi atas dasar kemanusiaan, kita akan batu keluarga ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan netizen supaya tidak terlalu ghairah menyebarkan perkara yang tidak mempunyai maklumat lengkap.

 


Pengarang :