NASIONAL

Banjir di Kuching, jumlah mangsa 81 orang

KUCHING, 20 JAN: Jumlah mangsa banjir di daerah Kuching terus meningkat kepada 81 orang daripada 21 keluarga dengan sebuah lagi pusat pemindahan dibuka di Balai Raya Kampung Paon, Lundu, setakat 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan di sini berkata, 31 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Paon yang dibuka pada 12.30 tengah hari berikutan hujan berterusan.

Seramai 32 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di Dewan Sinaran Kampung Lumut dan 18 mangsa daripada tiga keluarga berada di Surau Ar Rahman di Kampung Sungai Batu.

Setakat 8 pagi ini, 50 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di dua buah pusat pemindahan berkenaan yang dibuka pada 3 petang semalam.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :