Bank dunia bakal laksana proses pemilihan presiden seterusnya | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Bank dunia bakal laksana proses pemilihan presiden seterusnya

WASHINGTON, 11 JAN: Bank Dunia pada semalam memaklumkan pihaknya bakal melaksanakan proses pemilihan presiden seterusnya bagi menerajui bank pembangunan pelbagai hala itu, semalam.

Ia bagi menggantikan Jim Yong Kim, yang tiba-tiba mengumumkan pengunduran awal dari Bank Dunia pada awal minggu ini, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan badan dunia itu.

Susulan satu mesyuarat pada 9 Januari lalu, Lembaga Pengarah Eksekutif Bank Dunia mengesahkan komitmennya kepada proses pemilihan ‘terbuka, berdasarkan merit dan telus’.


“Pengarah Eksekutif bersetuju bahawa calon harus komited terhadap pelaksanaan Forward Look dan perjanjian pakej modal sebagaimana yang disebut dalam Sustainable Financing for Sustainable Development Paper,” menurut kenyataan itu.

Menurut Bank Dunia, calon harus memenuhi beberapa kriteria penting, termasuk rekod prestasi kepimpinan, pengalaman dalam menguruskan organisasi besar dengan pendedahan antarabangsa, dan komitmen tegas serta penghargaan terhadap kerjasama pelbagai hala.

Bank itu berkata, pencalonan untuk presiden seterusnya hendaklah dikemukakan antara 7 Februari dan 14 Mac ini sementara pengarah eksekutif akan memutuskan senarai pendek tiga calon.

“Temu bual rasmi Pengarah Eksekutif akan dijalankan untuk semua calon yang disenarai pendek dengan jangkaan memilih Presiden baharu sebelum Mesyuarat Musim Bunga pada April,” kata bank itu.

Kim pada 7 Januari lalu mengumumkan bahawa beliau akan berundur daripada jawatannya di Bank Dunia berkuat kuasa 1 Februari, tiga tahun lebih awal daripada tempoh penggal keduanya sebagai presiden institusi pembiayaan antarabangsa itu berakhir iaitu pada 2022.

Kim menjadi presiden ke-12 Bank Dunia pada 1 Julai 2012.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai presiden institusi akademik Amerika Syarikat yang terkenal iaitu Kolej Dartmouth.

Global Infrastructure Partners (GIP), pelabur infrastruktur global yang berpangkalan di New York, pada Selasa telah mengesahkan bahawa Kim akan menjadi rakan kongsi dan naib pengerusi GIP mulai 1 Feb.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next