BERITA UTAMASELANGOR

Bas elektrik Smart Selangor sejajar visi ‘Smart State’ 2025

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 JAN: Cadangan menggunakan bas elektrik dalam perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor mendapat pertimbangan Kerajaan Negeri berikutan ia sejajar dengan visi menjadikan negeri itu sebagai ‘Smart State’ menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penggunaan bas elektrik memberi pelbagai kelebihan seperti menggunakan teknologi mesra alam sekitar, menjimatkan, berdaya saing dan dilengkapi teknologi terkini yang diperlukan.

“Sebagai sebuah negeri maju dan terkehadapan sememangnya kita ke arah penggunaan bas elektrik sepenuhnya di mana teknologi lebih mesra alam, berdaya saing, memudahkan rakyat dan lebih-lebih lagi menjadi cita-cita kita untuk menjadi sebuah negeri ‘Smart State’ menjelang 2025.

“Apa yang dipersembahkan tadi menepati ciri-ciri yang kita inginkan tetapi bukan teknologi yang baik dan canggih sahaja jadi ukuran tetapi kewujudannya mampu memanfaatkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas menerima taklimat daripada syarikat pembekal bas elektrik, Asiana Kencana berkenaan bas elektrik keluaran mereka di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menilai cadangan dibentangkan Asiana Kencana sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, sebarang keputusan yang akan dibuat hendaklah selaras dengan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Selangor.

“Apa yang penting kita dapat membudayakan, menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan kenderaan awam dan yang penting kita dapat memperkemaskan serta mengukuhkan perkhidmatan yang diberikan Bas Smart Selangor,” katanya..

Amirudin meberitahu, pada masa ini sebanyak 27 Bas Smart Selangor beroperasi dengan membabitkan lebih 39 laluan di seluruh Selangor.

Sebelum itu, Amirudin sempat mencuba bas elektrik yang dicadangkan Syarikat Asiana Kencana.

Selain menggunakan teknologi mesra alam sekitar dan menjimatkan, ciri canggih lain yang terdapat adalah sistem pengecaman wajah, jantina, pengesanan lokasi dan kumpulan umur yang memudahkan pemilik bas membina pangkalan data bagi tujuan kajian.

Selain untuk tujuan kajian, pangkalan data yang diperolehi juga boleh digunakan untuk tujuan keselamatan seperti mengenal pasti penjenayah dan lain-lain.

Bas elektrik terbabit juga dilengkapi dengan kemudahan khas untu Orang Kelainan Upaya (OKU).


Pengarang :