NASIONAL

Bayaran royalti dan balak isu berbeza

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan kerajaan PAS Kelantan bahawa isu pembayaran royalti minyak dan aktiviti pembalakan adalah dua perkara berbeza.

Katanya, perkara itu tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk merosakkan alam sekitar dengan meneruskan aktiviti pembalakan.

“Isu pembayaran royalti sudah kita nyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan akur kepada peruntukan undang-undang, tetapi ini soal persekitaran yang kita mahu semua negeri (jaga) bukan sahaja Kelantan.

“Sementara kita mahu negeri itu dibangunkan tetapi persekitaran mesti dijaga. Itu sahaja. Tidak boleh jika ada kelewatan atau kegagalan pembayaran royalti, maka negeri akan dirosakkan, ini kita tidak akan benarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran 3R On Wheels dan Kad Mesra di sini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kerajaan Negeri itu bersedia menghentikan semua aktiviti pembalakan jika Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan pembayaran royalti minyak seperti dijanjikan sebelum ini.

Katanya, pembayaran royalti minyak dianggarkan RM700 juta setahun itu jauh lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan berbanding RM100 juta setahun hasil daripada aktiviti pembalakan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan sudah bersetuju membayar semula royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan secara tunai, namun tidak menyatakan bila dan jumlah bayaran itu akan dikemukakan.

 


Pengarang :