NASIONAL

Bayi dipercayai mangsa dera meninggal dunia

SIBU, 13 JAN: Bayi lelaki yang kritikal selepas dipercayai didera pengasuhnya, di Taman Permai di sini Isnin lalu, meninggal dunia di Hospital Sibu, hari ini.

Aariz Harraz Zahin Azman, sembilan bulan, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya Hajijah Tahir, pada jam 11.55 pagi selepas alat sokongan hayatnya dihentikan, pada jam 11.30 pagi.

Bayi itu disahkan ‘mati otak’, pada jam 9.10 pagi semalam oleh pasukan perubatan yang merawatnya.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, keputusan untuk menghentikan mesin sokongan hayat itu dipersetujui ibu bapa bayi malang berkenaan, semalam selepas hasil ujian ke atas otak mangsa untuk kali kedua kekal sama.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka, Dr Anuar Rapa’ee yang hadir di hospital untuk menziarah mangsa, meminta masyarakat memberi ruang kepada kedua ibu bapa bayi berkenaan untuk bersama keluarga menghadapi tragedi terbabit.

“Sekarang kita serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai di sini sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak pada bahagian kiri kepala dipercayai akibat hentakan kuat.

Suspek yang berusia 39 tahun ditahan polis pada hari berikutnya susulan laporan polis dibuat bapa mangsa.

Wanita itu kemudiannya dilaporkan mengaku menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis dan mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat haid.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar ibu bapanya, pada waktu bekerja.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :