SELANGOR

Bekalan air di Kuala Langat kembali pulih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JAN: Bekalan air di Kuala Langat kembali pulih setelah kerja pembaikan peralatan pengepaman Loji Rawatan Air Sungai Langat siap dilaksanakan.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, beberapa kawasan berlokasi tinggi dan terletak di penghujung sistem agihan masih dalam peringkat pemulihan.

Katanya, Pusat Khidmat Setempat di Jalan Temenggung, Bandar Mahkota Cheras dan Taming Jaya, Balakong masih terus beroperasi serta bantuan lori tangki air digerakkan hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Orang ramai boleh memuat turun aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ di Google Play atau App Store untuk maklumat dan status terkini berkenaan bekalan air yang akan dikemas kini dari masa ke masa.

“Pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau SMS Tanker ke 15300 atau terus whatsapp ke talian 019-281 6793 atau 019-280 0919 untuk bantuan.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan bekalan amatlah dihargai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, SelangorKini melaporkan 13 kawasan di daerah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah ekoran kerosakan peralatan pengepaman, di Loji Rawatan Air Sungai Langat.

Antara kawasan terbabit termasuk Balakong; Bandar Mahkota; Bandar Sungai Long; Bandar Tun Hussein Onn; Batu 9 hingga Batu 17 Jalan Langat; Beranang dan Kajang.

Kawasan lain, Kampung Sungai Tekali; Mines; Taman Pingiran Delima; Taman Wawasan; Semenyih dan Sungai Ramal.

 


Pengarang :