EKONOMINASIONAL

Belia digalak sertai Program Geran Agropreneur Muda 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 JAN: Jabatan Pertanian Malaysia mengajak golongan belia untuk menyertai Program Geran Agropreneur Muda 2019 dalam usaha mengembangkan lagi bakat dalam bidang keusahawanan berasaskan agro.

Memetik kenyataan media, program itu bertujuan menggalakkan pembabitan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan semua aktiviti rantaian nilai sektor pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan.

Antara syarat kelayakan pemohon adalah warganegara Malaysia, berusia antara 18 hingga 40 tahun, boleh membaca, mengira dan menulis.

Selain itu, individu yang baru memulakan projek juga wajib mengikuti program latihan teknikal dianjurkan atau diiktiraf jabatan/agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Syarat kelayakan lain pula, peserta yang memiliki sijil/diploma/ijazah dari Kementerian Pendidikan Malaysia atau institut latihan di bawah MOA berkaitan projek pertanian yang dicadangkan boleh dipertimbangkan untuk dikecualikan daripada menyertai program latihan teknikal terbabit.

Malah, keutamaan turut diberikan kepada individu yang mempunyai kemudahan tanah atau premis sedia ada.

Sementara itu, dokumen lengkap perlu dihantar ke jabatan/agensi MOA sebelum tarikh tutup permohonan mengikut fasa.

Tiga tarikh fasa permohonan dibuka iaitu Fasa 1 (1-31 Januari), Fasa 2 (1-31 Mei) dan Fasa 3 (1-30 September).

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi 03-88701234 atau e-mel ke [email protected] atau layari laman sesawang www.moa.gov.my.

 

 


Pengarang :