SELANGOR

BERSATU bincang kekosongan kerusi DUN Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor akan bermesyuarat bagi membincangkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berikutan kematian wakil rakyatnya, Mohd Bakhtiar Mohd Nor, awal pagi tadi.

Pengerusinya, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, mesyuarat berkenaan akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas berbincang dengan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita akan berbincang dengan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kekosongan kerusi ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Awal pagi tadi, Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, pada jam 4.45 pagi.

Mohd Bakhtiar menjadi wakil rakyat di Semenyih sejak Mei tahun lalu selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa dukacita atas pemergiaan Allahyarham.

Katanya, Allahyarham adalah seorang wakil rakyat yang prihatin dan giat dalam memperjuangkan nasib penduduk kawasan Semenyih.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.


Pengarang :