Seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRN Sabah di 55 pusat mengundi.
SELANGOR

BERSATU cadang PRK DUN Semenyih selepas Tahun Baru Cina

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 12 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diadakan, selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, ia tertakluk kepada keputusan SPR.

“Kita meminta PRK itu diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina, iaitu awal Mac ini. Bagaimanapun, ia tertakluk pada SPR untuk menentukan tarikhnya.

“Semua pucuk pimpinan sudah dimaklumkan berkenaan kekosongan kerusi DUN itu dan akan bermesyuarat bagi menetukan calon yang sesuai,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, BERSATU mahu calon sesuai yang akan menggantikan Allahyarham Mohd Bakhtiar Md Nor dan mampu mengekalkan kemenangan, di DUN berkenaan.

Beliau turut memaklumkan mempunyai beberapa nama yang layak menjadi calon dan akan mengemukakannya kepada pimpinan.

“Saya mempunyai beberapa nama yang sesuai dijadikan calon, bagaimanapun ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Mohd Bakhtiar disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, pada jam 4.45 pagi, semalam.

Mohd Bakhtiar menjadi wakil rakyat di Semenyih sejak Mei tahun lalu selepas mengalahkan penyandang kerusi, Datuk Johan Abd Aziz, daripada Barisan Nasional, pada Pilihan Raya Umum ke-14, dengan majoriti 8,964 undi.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.


Pengarang :