SELANGOR

BERSATU senarai pendek 5 calon PRK Semenyih

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 26 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menyenarai pendek lima calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada 2 Mac ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan menyusun jentera kempen pilihan raya sebelum berlangsungnya penamaan calon, pada 16 Februari ini.

Katanya, Pengerusi BERSATU Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari turut akan mengetuai jentera kempen Pakatan Harapan (PAKATAN) kali ini.

“Kerajaan Negeri menyerahkan proses memilih calon ini kepada BERSATU memandangkan kerusi berkenaan milik parti itu.

“Namun jika berlaku perubahan terhadap calon, ia akan diputuskan Majlis Presiden PAKATAN. Kita akan teruskan tradisi sebelum ini, iaitu mengekalkan calon dari parti yang sama,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Notis 5A kepada penduduk Kampung Sungai Sireh Tambahan, di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, semalam.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, kesemua senarai nama berkenaan sudah diserahkan kepada ibu pejabat bagi membolehkan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad bermesyuarat untuk menentukan calon.

Katanya, BERSATU turut mencadangkan seorang wanita daripada lima calon yang ditetapkan.

“Semua calon ini adalah dalam kalangan ahli jawatan kuasa bahagian, golongan muda, berkaliber, anak tempatan dan mempunyai kelulusan akademik tinggi,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, meninggal dunia di Hospital Kajang, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464), calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).

 


Pengarang :