SELANGOR

Biak Aedes, premis diberi notis amaran bersih kawasan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JAN: Tindakan tegas akan diambil dengan memberi notis amaran terhadap mana-mana premis atau kediaman di Selangor, didapati menjadikan kawasan mereka sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, notis amaran itu sebagai peringatan kepada pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu manakala kompaun akan dikenakan selepas tiga hari sekiranya keadaan tidak berubah.

“Menerusi Kempen Ops Selangor Gempur Aedes yang akan diadakan selama tiga minggu nanti, kita akan membuat pemeriksaan secara serius terhadap tempat pembiakan.

“Notis Seksyen 8 akan dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi sarang Aedes,” katanya pada sidang media Selangor Isytihar Ops Gempur Aedes besar-besaran di Hotel Carlton Holiday & Suites, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Dr Siti Mariah berkata, pihaknya optimis tindakan operasi bersepadu itu nanti dapat meminimakan jumlah wabak denggi di Selangor.

“Luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk gotong-royong membersihkan kediaman atau kawasan persekitaran berdekatan.

“Usaha pencegahan denggi ini hendaklah dilakukan secara konsisten dan berterusan oleh semua pihak sekali gus ia mampu memberi manfaat kepada semua,” katanya.

 


Pengarang :