EKONOMINASIONAL

BNM dijangka kekal OPR pada 3.25%

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), pada 3.25 peratus tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi bagi memastikan kestabilan pasaran modal, kecairan serta menyokong pertumbuhan industri perbankan.

Dalam nota kajiannya, Kenanga berkata, pertumbuhan pinjaman menyederhana kepada 5.1 peratus berbanding 5.4 peratus pada 2017.

“Angka ini hampir dengan unjuran keseluruhan tahun sebanyak 5.0 peratus daripada 5.3 peratus pada 2017, manakala pertumbuhan deposit meningkat 5.4 peratus YTD (2017: 4.0 peratus).

“Pertumbuhan pinjaman diunjurkan terus menurun kepada 4.2 peratus pada 2019, berdasarkan trend inflasi yang terkawal serta prospek pertumbuhan dunia yang menyederhana,” kata firma penyelidikan itu, hari ini.

RHB Research Institute berkata ia menjangkakan bank pusat itu akan mengekalkan OPR pada 3.25 peratus, yang akan mengekalkan kestabilan ringgit berbanding dolar US berlatarbelakangkan pengetatan monetari oleh Rizab Persekutuan US serta pengukuhan dolar.

“Untuk masa depan, kami menjangkakan M3 dan pinjaman Malaysia berkembang pada kadar yang sihat sebanyak 5.5 peratus dan 5.2 peratus pada 2019, daripada anggaran masing-masing sebanyak 5.2 peratus dan lima peratus bagi tahun 2018,” katanya.

Bagaimanapun, pertumbuhan yang lebih tinggi dalam penawaran wang dijangkakan tidak menyebabkan sebarang tekanan harga ke atas permintaan, kerana inflasi teras masih terkawal.

Pertumbuhan M3 Malaysia meningkat pada 7.4 peratus tahun ke tahun pada bulan November daripada 7.1 peratus yang disemak semula pada Oktober, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk dana daripada sektor awam dan swasta.

Pertumbuhan wang sempit (M1) meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun, daripada 3.1 peratus pada Oktober berikutan pertumbuhan deposit permintaan dan mata wang dalam edaran yang perlahan.

Pertumbuhan pinjaman terus meningkat bagi bulan keempat berturut-turut, disokong oleh permintaan pinjaman korporat yang lebih kukuh, dengan pertumbuhan deposit turut meningkat.

Pertumbuhan pinjaman November meningkat berterusan untuk bulan keempat berturut-turut kepada 6.2 peratus daripada 5.7 peratus pada Oktober, didorong oleh pinjaman yang lebih tinggi yang diperluaskan kepada sektor korporat, yang menyaksikan pertumbuhan meningkat 6.8 peratus (Oktober: 6.1 peratus).

“Ini disokong oleh pinjaman yang lebih tinggi untuk sektor pembuatan, borong dan runcit, kewangan dan insurans, pembinaan dan perlombongan dan kuari,” kata firma penyelidikan itu.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :