SELANGOR

Boling Alam Flora himpun 13 agensi media

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 JAN: Sebanyak 13 agensi media termasuk SelangorKini dan TV Selangor memeriahkan Pertandingan Boling Alam Flora Media-Media Selangor, di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, program itu bertujuan mengeratkan hubungan bersama petugas media yang selama ini membuat laporan berita dan liputan membabitkan syarikat berkenaan.

“Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada rakan media yang banyak membantu menyebarkan maklumat kepada masyarakat, khususnya berkaitan Alam Flora.

“Pada masa sama, ia menjadi medium mengukuhkan hubungan kerja antara pengurusan Alam Flora dan media di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menghargai dan mengiktiraf peranan media, selain berharap jalinan kerjasama itu terus dipertingkat, pada masa akan datang.

“Segala liputan dan sokongan diberi akan terus disimpan dan dikunci dalam hati,” katanya.

Mohd Zain turut beraksi dalam pertandingan itu bagi kategori orang kenamaan (VIP).

Kejohanan dimeriahkan dengan hadiah bagi Raja Longkang dan Ratu Longkang.

Terdahulu, beliau berkesempatan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pengamal media yang menjayakan kejohanan itu.

 


Pengarang :