NASIONAL

Bomba KL tingkat pemeriksaan di lokasi tumpuan awam

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur meningkatkan pemeriksaan keselamatan kebakaran di lokasi tumpuan seperti pusat membeli-belah dan hotel sekitar ibu negara, sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Pengarahnya, Nordin Pauzi berkata, semua 18 balai bomba di Kuala Lumpur diarah meningkatkan pemeriksaan bagi memastikan peralatan keselamatan kebakaran seperti alat pemadam api, pintu rintangan api dan sistem pencahayaan ketika kecemasan sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Kami dapati ada pusat membeli-belah yang mengabaikan aspek keselamatan kebakaran terutama ketika proses jualan murah diadakan. Denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara mengikut Akta Bomba boleh dikenakan terhadap pusat membeli-belah atau premis yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2019 di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Nordin berkata, rondaan di jalan utama juga akan ditingkatkan bagi memastikan ‘response time’ ke lokasi kemalangan dapat ditingkatkan.

“Satu jentera bomba juga akan ditempatkan pada waktu puncak di plaza tol yang dikenal pasti,” katanya.


Pengarang :