NASIONAL

‘Bomba’ melecur cuba padam kebakaran sendiri

MIRI, 8 JAN: Seorang pekerja warga Indonesia melecur di badan dan tangan dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah serta kenderaan pacuan empat roda, di Jalan Beluru Lapok, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, mangsa, Bomba Dullah, 45, cedera setelah cuba memadamkan sendiri kebakaran sebelum terkena bahang api dalam kejadian jam 12.42 tengah malam itu.

“Mangsa ialah pekerja yang menghuni rumah terbabit dan kebakaran itu memusnahkan keseluruhan rumah serta kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Beliau berkata, rumah dan kenderaan pacuan empat roda itu dimiliki majikan mangsa Badi Bandak, 55, yang tiada di rumah ketika kejadian.

Poh Kion berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk memadam kebakaran terbabit.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :