ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Bot terbalik: Seorang maut, seorang selamat

PELABUHAN KLANG, 4 JAN: Seorang mati lemas manakala seorang terselamat apabila bot fiber yang mereka naiki terbalik akibat angin kencang dan laut bergelora berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kpt Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang dan terus menghantar pasukan mencari serta menyelamat.

“Kami menemui seorang mangsa yang terselamat, Amir Hamzah Mohd Jani, 55, berpaut pada sebuah tong minyak manakala rakannya yang dikenali sebagai Syed Noor Masadi, 51, ditemui mati lemas pada jarak kira-kira 0.8 batu nautika dari Perepat, Kapar, dekat sini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, mayat Syed Noor dan rakannya yang selamat, Amir Hamzah, dibawa ke jeti Pulau Indah untuk tindakan selanjutnya

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Sungai Sembilang, Jeram, dekat sini, keluar memancing di laut, kira-kira jam 3 pagi, semalam, katanya.

Mohammad Rosli berkata, pihak APMM mengingatkan supaya komuniti laut sentiasa mengambil berat soal keselamatan ketika di laut terutama aspek pemakaian jaket keselamatan.

“Penggunaan jaket keselamatan sangat perlu tanpa menganggapnya sebagai satu beban kerana pemakaian jaket itu boleh menyelamatkan nyawa sementara menunggu ketibaan bot penyelamat,” katanya.


Pengarang :