Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Bunuh kucing, pemandu teksi dipenjara 2 tahun

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Seorang lelaki yang bertindak kejam membunuh kucing bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering, di sebuah dobi layan diri, dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Selayang, di sini hari ini.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap, pada 14 September 2018.

Lelaki itu didakwa bersama seorang yang masih bebas dengan kejamnya menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing, di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves di sini antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 September tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini rakan Mohanraj, S.Satthiya, 27, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama manakala seorang lagi pekerja kontrak K. Ganesh, 42, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Roslan Mohd Isa memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah zalim.

Mohanraj yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama serta perlu menanggung keluarga.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :