EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka jauh lebih rendah

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Bursa Malaysia dibuka jauh lebih rendah hari ini, didorong oleh pengambilan untung dalam saham berwajaran tinggi terpilih dan kaunter kewangan selepas mencatatkan keuntungan baru-baru ini, selaras dengan aliran menurun bursa serantau, kata peniaga.

Pada 9.20 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.82 mata kepada 1,688.30, daripada 1,702.12 semasa ditutup pada Selasa, selepas dibuka 11.36 mata lebih rendah pada 1,690.76.

Suasana pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 271 berbanding 93, manakala 194 kaunter tidak berubah, 1,342 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 303.41 juta saham bernilai RM128.43 juta.

Seorang peniaga berkata, kebanyakan saham di Asia jatuh pada sesi dagangan hari ini berikutan kebimbangan baharu terhadap rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China, berikutan White House dilaporkan telah membatalkan mesyuarat perdagangan yang dirancang diadakan dengan Beijing minggu ini.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank IB Research percaya FBM KLCI akan berada pada julat antara 1,690 dan 1,720 mata hari ini, dengan sokongan aliran menurun dianggarkan pada 1,658 dan 1,644 mata.

“Sementara sentimen modal besar bertukar positif, kami menjangkakan fokus kini akan kembali kepada stok eksport dan import berikutan penyusutan Ringgit dalam jangka pendek. Kami menjangkakan Indeks FBM KLCI akan mencabar rintangan sementara sebelum kembali cergas,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun tiga sen kepada RM9.48, Public Bank susut 32 sen kepada RM24.86, TNB jatuh 16 sen kepada RM13.54 manakala Petronas Chemicals turun sembilan sen kepada RM8.43.

Dalam kalangan saham cergas, Bumi Armada naik 1.0 sen kepada 22.5 sen, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 28.5 sen, manakala Panpages turun setengah sen kepada 26 sen dan Bina Puri susut satu sen kepada 27 sen.

Indeks FBM Emas turun 87.61 mata kepada 11,653.65, Indeks FBMT 100 jatuh 89.20 mata kepada 11,538.30, Indeks FBM Emas Shariah susut 89.07 mata kepada 11,553.83, FBM 70 turun 83.62 mata kepada 13,645.02 dan Indeks FBM Ace jatuh 8.14 mata kepada 4,433.58.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan jatuh 98.09 mata kepada 17,527.33, Indeks Perladangan turun 32.44 mata kepada 7,210.35 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan jatuh 1.03 mata kepada 162.01.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :