KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bursa Malaysia mengukuh semasa dibuka hari ini, didorong prestasi positif Wall Street pada Jumaat, kata peniaga.
Pada 9.25 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 17.01 mata kepada 1,686.79 daripada 1,669.78 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks itu dibuka 5.14 mata lebih tinggi kepada 1,674.92.
Menurut JF Apex Research, FBM KLCI dijangka berada di peringkat peningkatan semula dengan paras rintangan pada 1,710 mata hari ini, berikutan prestasi positif pasaran di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
“Purata Perindustrian Dow Jones melonjak semula lebih daripada 700 mata atau 3.3 peratus pada Jumaat lepas susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell bahawa bank pusat itu akan menangguhkan kenaikan kadar faedah, ditambah dengan laporan pekerjaan yang memberangsangkan.
“Demikian juga dengan pasaran Eropah yang ditutup tinggi, didorong laporan berita bahawa China dan AS akan mengadakan perbincangan perdagangan pada 7 dan 8 Januari,” katanya dalam nota hari ini.
Fed menjangkakan dua kenaikan kadar faedah untuk tahun ini.
Lingkungan pasaran di Bursa Malaysia adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 380 berbanding 77, manakala 184 kaunter tidak berubah, 1,224 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Dagangan adalah aktif dengan jumlah dagangan sebanyak 442.25 juta saham bernilai RM177.85 juta.
Antara saham berwajaran tinggi, Maybank naik 12 sen kepada RM9.47, Public Bank dan TNB masing-masing meningkat 20 sen kepada RM24.86 dan RM13.66, manakala Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM9.27.
CIMB dan IHH Healthcare masing-masing menambah enam sen kepada RM5.69 dan RM5.50.
Bagi saham aktif, DPI Holdings yang baru disenaraikan di Pasaran Ace meningkat empat sen kepada 29 sen, KNM dan Hubline masing-masing naik setengah sen kepada lapan sen dan lima sen, Hibiscus Petroleum menokok 4.5 sen kepada 94 sen manakala Bumi Armada dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada 15.5 sen dan 29 sen.
Indeks FBM Emas naik 121.51 mata kepada 11,534.53, Indeks FBMT 100 meningkat 118.23 mata kepada 11,441.57 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 124.89 mata kepada 11,481.80.
Indeks FBM Ace menokok 60.72 mata lebih tinggi kepada 4,355.15, manakala FBM 70 melonjak 148.01 mata kepada 13,171.81.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 163.08 mata kepada 17,404.87, Indeks Perladangan menambah 73.87 mata kepada 6,954.77 manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.06 mata kepada 166.69.
*Sumber: BERNAMA