NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada pagi ini, didorong oleh momentum belian berterusan terhadap saham berharga rendah serta saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 9.20 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.36 mata kepada 1,683.24 daripada 1,678.88 sewaktu ditutup pada Khamis, selepas dibuka 6.11 mata lebih tinggi kepada 1,684.99.

Sentimen pasaran juga lebih positif menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 244 berbanding 99 manakala 184 kaunter lain tidak berubah, 1,336 tidak diniagakan dan dagangan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 446.05 juta saham bernilai RM134.53 juta.

Sementara itu, Maybank Investment Bank berkata, sentimen domestik ternyata semakin berkurangan yang berkemungkinan disusuli oleh aktiviti pengambilan untung selepas pasaran mencatat kenaikan berturut-turut sebelum ini.

“Dari sudut teknikal, kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan antara paras 1,660 dan 1,690 pada hari ini manakala penyusutan harga sekitar paras 1,658 dan 1,644 di pasaran,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan MISC dan TNB masing-masing menokok enam sen kepada RM6.49 dan RM13.92 manakala Maybank untung satu sen kepada RM9.46 dan Maxis serta Axiata menambah tiga sen kepada RM5.67 dan RM4.03.

Public Bank sebaliknya rugi 12 sen kepada RM24.68, Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM8.66 dan IHH Healthcare kehilangan satu sen kepada RM5.74.

Bagi saham aktif, VS Industry untung tiga sen kepada 89.5 sen, FGV Holdings naik enam sen kepada 84.5 sen, Bumi Armada dan Sino Hua-An masing-masing naik satu sen kepada 16.5 sen dan 23 sen manakala APFT turun setengah sen kepada 1.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 36.48 mata kepada 11,601.85, Indeks FBMT 100 menokok 34.88 mata kepada 11,486.59 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 65.53 mata kepada 11,551.74.

Selain itu, Indeks FBM Ace naik 25.68 mata kepada 4,453.03 dan FBM 70 menambah 62.26 mata kepada 13,512.84.

Mengikut sektor pula, Indeks Kewangan naik 16.63 mata kepada 17,405.68, Indeks Perladangan meningkat 41.03 mata kepada 7,081.96 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 0.08 mata kepada 164.79.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :