EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Bursa Malaysia meneruskan keuntungan minggu lalu apabila dibuka tinggi hari ini, susulan minat belian berterusan dikebanyakan kaunter berkaitan indeks, kata peniaga.

Pada 9.13 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.40 mata kepada 1,701.43, berbanding 1,701.03 pada penutupan Jumaat selepas dibuka 4.38 mata lebih tinggi pada 1,705.41.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 181 berbanding 87, manakala 178 kaunter tidak berubah, 1,478 tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 286.03 juta saham bernilai RM101.82 juta.

Seorang peniaga berkata FBM KLCI mampu kekal melepasi paras 1,700 hari ini, menjejaki keuntungan di kebanyakan pasaran saham serantau pada minggu lalu, ekoran keyakinan terhadap hasil perbincangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) akhir bulan ini.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, ia mengekalkan prospek neutral, memandangkan indeks masih kukuh melepasi purata pergerakan mudah (SMA) antara 20 dan 50 hari, dengan beberapa petunjuk momentum yang menunjukkan isyarat positif.

“Momentum positif yang berterusan akan menyaksikan arah aliran ke tahap rintangan pada 1,730, lebih menghampiri SMA 100-hari. Belian yang agresif akan memperlihatkan indeks pada laluan yang jelas ke arah 1,800.

“Sebaliknya, tahap sokongan boleh dikenal pasti pada 1,610 dan 1,600,” katanya dalam penyelidikannya hari ini, lapor BERNAMA.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM9.68 dan RM5.70, Public Bank tidak berubah pada RM24.80, manakala TNB dan Petronas Chemicals masing-masing turun lapan sen kepada RM13.56 dan RM8.61.

Bagi saham aktif, Sapura Energy meningkat 1.5 sen kepada 29.5 sen, Bumi Armada turun setengah sen kepada 22.5 sen manakala Barakah menambah setengah sen kepada 9.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 7.0 mata kepada 11,792.96, Indeks FBMT 100 meningkat 6.02 mata kepada 11,674.89 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 4.97 mata kepada 11,730.70.

FBM 70 menokok 20.91 mata kepada 14,001.20 manakala Indeks FBM Ace menambah 19.85 mata kepada 4,484.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 33.31 mata kepada 17,669.84, Indeks Perladangan meningkat 26.65 mata kepada 7,328.82 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.81 mata kepada 163.38.


Pengarang :